OOO

Memaparkan catatan dengan label kuih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kuih. Papar semua catatan

Sabtu, April 13, 2013

Resepi Apam Balik

Assalammualaikum

Resepi apam balik sedap..dah lama buat..akak upkan balik ek..sesuai untuk buat minuman petang hari ni

Bila dah pandai buat apam balik ni..tak payahlah lagi beli kat pasar tani atau pun pasar malam...lagi best buat sendiri. Boleh bubuh inti banyak-banyak....kalau nak buat apam balik ni...se elok-eloknya gunakan kuali tak melekat....barulah lawa sikit kulit dia. Yang empunya resepi ni Ms Oreo...terima kasih ye sudi bagi resepi ni....
 

Bahan-bahan (boleh dapat 3 keping yang tebal)
1. 2 cawan tepung gandum
2. ½ cawan gula

3. 1 sudu teh soda bicarbonate
4. 1 sudu teh baking powder
5. Sedikit pewarna kuning
6. 1 biji telur

7. 1½ cawan air
8. Sedikit mentega/planta untuk mengoles

Bahan tabur : 
1. Kacang tanah di goreng tanpa minyak dan tumbuk kasar.
2. Jagung dalam tin.

3. Gula halus
4. Marjerin

5. Coklat urai/coklat chip (pilihan)


Cara-caranya
  • Gunakan mixer ..pukul telur dan gula sehingga kembang.

  • Masukkan soda bicarbonate, air dan pewarna kuning.

  • Pukul lagi sehingga sebati dan masukkan tepung gandum.

  • Pukul lagi sehingga semuanya sebati.

  • Oleskan mentega/margerin di permukaan kuali (sebaiknya gunakan kuali tak melekat (non stick pan) dan tuangkan 1 senduk (nipis) atau 2 senduk (tebal) dan ratakan.
Biarkan seketika dan sementara masak, taburkan bahan tabur diatas.Akak punya yang ni....
Yang ni anak-anak punya..

Apabila cukup masak, angkat dan lipat dua sebelum di potong. Mudahkan cara membuatnya..cubalah....

Sabtu, Jun 26, 2010

Mari Makan Karipap Panas

  Nak lama tak mengentel dan mengklim karipap...bila cuti sekolah Ira request nak makan..tak sampai hati buatlah jugak..takut dia kempunan nak makan..
 
 Kulit Karipap
  • 1/2 kg tepung gandum
  • 2 sudu besar mentega/marjerin
  • 2  sudu besar minyak masak
  • Air masak bercampur garam (agak-agaklah sampai jadi doh)
Cara-cara
1.  Panaskan minyak masak bersama mentega/margerin.  Biarkan mendidih.
2.  Masukkan tepung dalam mangkuk tahan panas dan buat lubang kat tengah.
3.  Tuang campuran minyak dan kacau dengan sudip kayu dan kacau cepat-cepat sampai minyak bercampur dengan tepung gandum.
4.  Tuangkan air masak yang bercampur garam dan ulilah doh seperti biasa.
5.  Jangan lembek sangat dan jangan pulak keras sangat.  Agak-agaklah dan perap sekejap.(tutup dengan kain basah)
6. Siap untuk di gunakan.
 Inti Karipap
  • 1kg ubi kentang-dadu
  • 1 biji bawang besar-dadu
  • 3 sudu besar kari daging
  • 400gm daging kisar(nak guna daging kisar pun boleh)
  • 1 stok ayam
  • 1 biji bawang besar*
  • 4 biji bawang kecil*
  • 3 biji bawang putih*
  • 1 inci halia*
  • 3 tangkai daun kari
  • air secukupny
  • garam dan sedikit minyak
Cara-cara
  1. Basuh dan potong dadu ubi kentang dan bawang besar.
  2. Toskan.
  3. Tumbuk/kisar bawang besar,bawang kecil, bawang putih dan halia.
  4. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan yang telah ditumbuk /kisar bersama daun kari.
  5. Setelah naik bau masukkan pulak bawang besar yang telah didadu bersama  serbuk kari dan kacau sehingga naik minyak.
  6. Masukkan ayam kisar dan masukkan sedikit air dan biarkan sebentar.
  7. Masukkan pulak ubi kentang, stok ayam, garam  dan air (agak-agak yer)
  8. Biarkan ubi empuk dengan menggunakan api perlahan dan kacau sekali sekala.
  9. Bila ubi telah empuk , rasa dulu baru di tutup api.

Sabtu, April 24, 2010

Buah Melaka

 Bila pergi ke pasar tani ..hajat di hati nak beli buah melaka...tapi bila tenguk RM1.00 ada berapa biji..tak jadilah nak beli..anak akak makan bukan cukup 4-5 biji seorang.  Kenalah buat sendiri kan.  Resepi ni tak ikut sukatan sangat. Pandai-pandailah nak adjust tang air tu.

Bahan-bahan
  • 250gm tepung pulut
  • Sedikit jus daun pandan(3 helai campur air 1/2 cwan kisar..pastu tapis)
  • Sedikit pewarna hijau
  • Kelapa parut yang putih di gaul dengan garam
  • Garam
  • Air secukupnya
  • Gula melaka di potong kecil-kecil

Cara-cara

  1. Gaul tepung dengan air pandan yang telah di tambah garam sedikit.
  2. Jangan lembik sangat yer cukup sampai boleh di bulat-bulatkan.  Kalau tiada air daun pandan boleh gunakan pewarna hijau yang di campur dengan air...
  3. Bentukkan bulat lebih kurang boleh muat masuk dalam mulut.  Masukkan gula melaka yang telah dipotong kecil di tengahnya dan bulatkan balik.. 
  4. Panaskan air  sehingga mendidih. Selepas mendidih masukkan buah melaka dan biarkan sehingga timbul.
  5.  Angkat dan terus di gaulkan dalam kepala parut yang telah di gaul dengan sedikit garam.  Biarkan sejuk baru boleh di makan.

Isnin, Mac 29, 2010

Cucur Udang aka Kueh Udang

Bangun pepagi ke Pasir Gudang
Hati di hati nak jumpa Puan Azita
bila nak di goreng cucur udang
cari senduk dia tak jumpalah pula
Tulah pasal..ingat senduk tu ada dalam simpanan..tak cari dulu..terus akak bancuh adunan ikut resepi Chef Ah Mat Gebu...dahlah lama tak membuatnya.  Selalu akak buat stail biasa ajer..taklah masukkan air rebusan kulit udang..tenguk resepi dia ni ada campuran camtu...sajer  ajar nak tukar selera.
Oleh sebab cari senduk besi tak jumpa..terpaksalah buat  cekodok aka jemput-jemput udang ajer..entah kemanalah senduk tu pergi...kat umah ni pakai senduk plastik ajer..mana boleh guna senduk plastik..kang cairlah pulak.   Nanti kena beli baru sebab kalau nak buat cucur udang kena pakai senduk yang tu jugak..tak leh campur-campur..kalau idak dia melekat.
BAHAN UNTUK CUCUR :-)
  • 250 g tepung gandum*
  • 3/4 camca besar baking powder*
  • 3/4 camca teh soda bikarbonate*(*gaul rata dan ayak)
  • 300 ml air rebusan kepala+kulit udang
  • 10 - 15 ekor udang
  • 1/2 camca teh garam
  • 1/2 camca teh serbuk kunyit
  • 30 g kuchai, dihiris
  • 50 g taugeh, ramas sedikit
BAHAN SOS :-)
  • 8 biji cili merah
  • 2-3 ulas bawang putih
  • 1 cawan gula
  • 1/4 cawan air
  • 1/4 cawan cuka makan
  • 4 camca besar sos ikan
  • Sedikit kacang tumbuk 

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Satukan semua bahan2 cucur kecuali udang, kacau sebati dan rehatkan 5 minit. Panaskan minyak, rendam sudip leper dalam minyak panas sekejap (dalam 1 minit), keluarkan sudip dan sudukan bancuhan tadi 1 1/2 camca besar dan baringkan sekor udang atasnya, tekan sedikit.
  2. Masukkan dalam minyak panas tadi, gunakan api sederhana. Bila cucur kelihatan kembang dan tembam, perlahan2 tanggalkan dari sudip, goreng hingga kuning keemasan pada kedua2 bahagian cucur. Angkat dan toskan.
  3. Letak atas beberapa helai paper towel, buat hingga siap. Hidangkan bersama sos...
 UNTUK SOS (RESIPI ASAL DARI "CHEF WAN") :- Kisar cili dan bawang putih hingga hancur, masukkan bahan2 lain kecuali bijan. Masak atas api perlahan sambil dikacau hingga sos memekat. Matikan api dan taburkan bijan sebelum dihidangkan bersama cucur udang tadi...

Sape tak buat sos ni rugi tau...rugi tak dapat makan...sedap lah.

Ahad, Mac 07, 2010

Sardin Roll

 
Wah bestnya cuti-cuti ni kan...boleh bangun lambat....makan  tengahari pun lambat...aduhai nak buat sardin roll ni memang kena rajin...nak kena gelek..nak kena tekan dgn garpu..memang leceh sikit kerjanya..
Resepi ni akak ambil dari rumah Ummi ...resepi asal dari Resepi.net..tapi Ummi ambil dari rumah Jun...aduhai jalan jauh dah resepi ni kan..akak baru teringin nak buat..sesuai untuk makan petang..
Bahan Pastri:- (kurang lebih 34 ketul)
  • 250 gm mentega sejuk
  • 500 gm tepung gandum
  • secubit garam
  • air sejuk (dari peti sejuk)
  • 1 kuning telor - untuk sapuan sebelum dibakar
Cara Membuat:-
  1. Gaulkan mentega dan tepung dengan hujung jari sehingga menjadi seperti breadcrumbs.
  2. Masukkan garam dan air sejuk dan uli sehingga menjadi doh.
  3. Balutkan doh dengan plastik dan sejukkan di dalam peti ais sementara membuat fillingnya.
  4. Bila filling telah sedia digunakan (telah sejuk), keluarkan doh dari peti ais.
  5. Gelekannya dengan rolling pin hingga nipis. Potong kepada bentuk segiempat tepat.
  6. Letakkan filling di atas doh dan roll.
  7. Letakkan di atas dulang yang telah disapu mentega dan dialas. Hiris-hiriskan bahagian atas doh (jangan sampai putus).
  8. Kemudian disapu kuning telor atas doh.
  9. Bakar selama 40 minit dengan suhu 175C.
 Bahan Filling:- (ikut style ummi ajerlah...)
  • 1 tin sardin (besar) Ayam brand - ambil isinya saja dan hancur2kan dgn garfu
  • 1 labu bawang besar - dicincang
  • 1 sudu besar cili kisar
  • sedikit perahan limau nipis
  • garam secukup rasa
  • 1 1/2 sudu besar minyak masak
Cara Memasak:-
  1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang besar dan cili kisar dengan api perlahan.
  2. Bila terbit minyak, masukkan ikan sardin yang telah dihancur-hancurkan. Gaul rata.
  3. Masukkan perahan limau nipis dan garam secukup rasa.
  4. Angkat dan sejukkan.

Jumaat, Februari 12, 2010

Karipap

Kat umah akak kalau buat karipap memang tak pernah lagi guna keledek... dari dulu lagi memang guna kentang.  Kalau nak buat inti kena buat banyak-banyak sebab banyak kegunaannya.  Kalau ikutkan malas nak buat sebab kena gelek dan klim seorang-seorang.  Tapi oleh sebab anak lelaki 2 orang dah duduk balik kat umah...kalau buat garenti habis...tu yang best nak buat tu..biar anak-anak dan suami kenyang kat umah..betul tak.. 
Kulit karipap ni akak dapat resepi dari adik ipar yang pernah berniaga dulu di kampung..sekarang ni dah tukar naik taraf jadi pemandu bas pelancung di langkawi. Jom layan karipap hari ni.
 Kulit Karipap
  • 1/2 kg tepung gandum
  • 4 sudu besar mentega/marjerin
  • 4 sudu besar minyak masak
  • Air masak bercampur garam (agak-agaklah sampai jadi doh)
Cara-cara
1.  Panaskan minyak masak bersama mentega/margerin.  Biarkan mendidih.
2.  Masukkan tepung dalam mangkuk tahan panas dan buat lubang kat tengah.
3.  Tuang campuran minyak dan kacau dengan sudip kayu dan kacau cepat-
cepat sampai minyak bercampur dengan tepung gandum.
4.  Tuangkan air masak yang bercampur garam dan ulilah doh seperti biasa.
Jangan lembek sangat dan jangan pulak keras sangat.  Agak-agaklah dan perap
sekejap.
5. Siap untuk di gunakan.
 Inti Karipap
  • 1kg ubi kentang
  • 1 biji bawang besar
  • 3 sudu besar kari daging
  • 400gm daging kisar
  • 1 stok ayam
  • 4 biji bawang kecil
  • 3 biji bawang putih
  • 1 inci halia
  • 3 tangkai daun kari
  • air secukupnya
  • 1 sudu makan tepung jagung-nak bagi inti tak berair masa nak klim
  • garam dan sedikit minyak
Cara-cara
  1. Potong dadu ubi kentang dan bawang besar (akak parut kasar ajer)
  2. Basuh dan toskan.
  3. Tumbuk bawang kecil, bawang putih dan halia.
  4. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan yang telah ditumbuk bersama daun kari.
  5. Setelah naik bau masukkan pulak bawang besar yang telah didadu bersama  serbuk kari dan kacau sehingga naik minyak.
  6. Masukkan ayam dan masukkan sedikit air.
  7. Masukkan pulak ubi kentang, stok ayam, garam  dan air (agak-agak yer)
  8. Biarkan ubi empuk dengan menggunakan api perlahan dan kacau sekali sekala.
  9. Bila ubi telah empuk , rasa dulu , masukkan 1 sudu tepung jagung..kacau sebentar.. baru di tutup api.
 
Buat stail martabak...bubuh inti dengan telur ...pastu goreng dalam minyak.

Isnin, Februari 01, 2010

Dorayaki

Bila dah fening fikir apa nak masak breakfast..ternampaklah pulak si doramen..opppp bukanlah...kuih  dorayaki kat rumah Hana kat Jepun....Hana ambil dari  lydia .  Hana makan dengan pes kacang merah...akak pulak tak ada stock benda tu kat umah...jadi bubuh kaya ajerlah...memang pekat bancuhan dorayaki ni...kena letak susu...tapi akak letak air masak sajer...akak punyer taklah secantik Hana punyer...macam ada panau sikit...tak aperlah ..janji anak-anak kata sedap.....Akak c & p dari umah Hana ajer...
Bahan-bahan
  • 100gm tepung kek atau tepung gandum
  • ½ sudu kecil baking soda
  • 60gm gula halus
  • 2 sudu besar madu
  • 2 biji telur
  • ½ sudu besar minyak masak
  • ½ sudu kecil esen vanilla
  • Inti:1½ cawan kacang merah yg manis-akak guna kaya
Cara-cara
  1. Dalam mangkuk besar, pukul telur bersama gula sehingga kembang.
  2. Masukkan madu, minyak dan esen vanilla. Kacau sehingga sebati.
  3. Masukkan tepung dan baking soda yg telah diayak ke dalam campuran telur. Kacau adunan secara kaup balik. Boleh tambah sedikit susu segar/air  masak jika adunan terlalu pekat.
  1. Panaskan kuali yg tidak melekat (non-stick pan) dengan api kecil, masukkan 1/4 cawan adunan buat bulatan bersaiz 4".(kalau bukak api besar..jadi rentung)
  2. Masakkan sebelah bawah sehingga berwarna perang, masak sebelah atas pula sehingga adunan nampak masak. Ulang sampai habis (20 keping).
  3. Letak 1 sudu besar kacang merah (akak ganti dengan kaya ajer)  ditengah sekeping pan-cake, tutup dgn satu keping pan-cake. Tekan dgn tangan pelahan-lahan untuk meratakan kacang merah.

Isnin, Julai 27, 2009

Kueh bakar


Anak-anak , mak, abah dan suami akak memang suka makan kueh ni...termasuk jugak adik bongsu akak...kalau buat kueh bakar ni memang dapat banyak...ni resepi ulangan..tapi akak rajinlah pulak nak bubuh resepi...resepi asal dari joaye.

Bahan-bahan
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan gula
  • 3 biji telur
  • 2 1/4 cawan santan (1 can santan-450ml)
  • 1 cawan jus pandan (air di campur dengan pes pandan)
  • 2 susu makan mentega/minyak
  • 1/2 sudu teh garam
  • 3 titik pewarna hijau
  • bijan secukupnya-(disangai dulu-goreng tanpa minyak...akak memang suka letak bijan banyak-banyak

Cara-cara

1. Campurkan semua bahan dan blend sampai sebati.
2. Masukkan 2 sudu minyak/mentega kedalam loyang.
3. Panaskan oven 180C dan bila minyak/mentega dah panas masukkan adunan tadi.
4. Bakarlah selama 1 jam. Kalau nak garing bakar lama sikit.


Jumaat, Jun 12, 2009

Coklat Crepes



Dah lupa ambil kat mana resepi coklat crepes ni...anak-anak suka makan crepes ni..first time buat..banyak jugak dapat...kalau anak tak ramai buat 1/2 adunan pun cukup.

Bahan-bahan

  • 2 cawan susu cair
  • 1 1/2 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan serbuk koko
  • 6 sudu besar gula aising
  • 2 biji telur
  • 2 sudu besar mentega cair
  • 1/2 sudu teh esen vanilla
  • 1/4 sudu teh garam

Cara-cara

1. Masukkan semua bahan dalam mixer dan putarkan dengan kelajuan yang tinggi sehingga sebati.
2. Masukkan kedalam peti sejuk selama 20 minit.
3. Cairkan mentega dan bubuh 3 sudu besar adunan dan leperkan mcm nak buat kuih gulung/dadar..lagi nipis lagi bagus.
4. Balikkan sebelah lagi dan baru di angkat dan dihidangkan bersama sos coklat.

&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

SOS COKLAT


Bahan-bahan
  • 1 1/4 cawan gula*
  • 2/3 cawan serbuk koko*
  • 1 cawan + 4 sudu besar susu cair*
  • 1/2 cawan mentega
  • 1/4 sudu teh garam

Cara-cara

1. Masak se cara double boiled. Masukkan semua bahan bertanda * ke dalam bekas tahan panas. Kacau sebati.
2. Masukkan mentega dan garam dan kacau lagi sehingga semuanya sebati barulah di padam api.
3. Sejukkan sebentar dan bolehlah di hidangkan bersama crepes coklat tadi.


Selasa, Jun 02, 2009

Cekodok aka jemput-jemput pisang

Buat cekodok ni dah lama jugak...mcm biasalah buat cekodok pisang ni...mestilah bahan utama pisang kan...versi akak kalau buat cekodok ni...guna gula merah dan sedikit susu pekat...

Buat kari ketam lagi...kdg-kdg malas nak masak ketam ni...dahlah mahal..pastu kena kopekkan bila si imran makan..

Rabu, April 29, 2009

Onde-onde/buah melaka


Bila jalan-jalan kat rumah bro rozzan di http://rozzan.blogspot.com/ ...chef fofolur dari singapore akak tertarik nak cuba buat onde-onde/buah melaka berasaskan ubi kayu..mula-mula hairan jugak kenapa beliau gunakan tepung ubi...selalunya akak buat pakai tepung pulut..tapi akak ikut jugak cara beliau....jadi pergi ke pasar tani cari ubi kayu..nasib baik jumpa...akan tak warnakan onde/buah melaka...warna original dari ubi kayu..akak c & p dari blog beliau...

Bahan-bahan

  • 500gm ubi kayu (di kupas kulit dan di cuci bersih lalu di rebus dengan sedikit garam sehingga empuk)
  • 240gm tepung ubi/sagu kanji (tapioca flour)
  • secukup gula melaka (kira-kira 200gm)- dipotong kecil-kecil
  • 250gm kelapa parut putih (dikukus sebentar dan di bubuh sedikit garam)
  • pewarna hijau/kuning atau apa-apa warna yang anda suka..akak tak letak pun
  • 50 gm air (sehingga menjadi doh)

Cara-cara

1) Ubi yg telah empuk dilecek hingga halus. Masukkan tepung sagu sedikit-sedikit sambil diuli hingga lembut dan sebati. Bubuh sedikit air jika perlu.

2) Ambil adunan dan buatlah bebola-bebola mengikut saiz yg anda suka.

3) Kemudian ambil satu bebola dan leperkan. Isikan dgn sedikit potongan gula melaka lalu tutuplah semula sehingga menjadi bulat semula. Buat sehingga semua adunan selesai.

4) Didihkan air dalam periuk. Kemudian, masukkan bebola-bebola ini ke dalamnya dan biarkan sebentar sehingga ia ‘timbul’ ke permukaan air. Ini tandanya onde-onde ni dah masak. Angkat dan toskan lalu disalut/gaul dgn kelapa parut.

Selasa, April 28, 2009

Resepi Apam Senyum@Apam Sengih@Apam Mekar

Akak ambil resepi ni dari http://rossitamz-kitchen.blogspot.com/..bila tenguk kat umah dia apam dia tersenyum langsung akak terkenan nak membuatnya..bahan dia pun senang nak dapat....Resepi asal ialah daripada Rokaya@My Resepi..

Mula-mula tamak nak buat 2 adunan...lepas baca balik si ita kata dpt banyak..jadi akak buat satu adunan aje...memang dapat banyak...akak boleh bawak ke rumah umi e dan tinggalkan kat rumah sikit..

Bahan-bahan
  • 3 biji telur
  • 1 cawan gula
  • 1 camca besar ovallete
  • 1 cawan air aiskrim soda
  • 3 cawan tepung gandum
  • Sedikit pewarna merah jambu dan hijau
  • Papercup secukupnya

Cara-cara :

1. Pukul telur, gula dan ovallete sehingga kembang dan gebu.
2. Masukkan air aiskrim soda, dan pukul lagi.
3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil dipukul rata.
4. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian dan warnakan dengan warna merah jambu dan hijau. Satu bahagian dibiarkan dengan warna asal sahaja.
5. Masukkan ke dalam paper cup dan kukus dalam 10 -15 minit.
Oleh sebab akak tak ada bekas besar akak bubuhlah dalam raga ni...

Selasa, April 14, 2009

Bingka Jagung

Pergi ke rumah member-member blog yang rajin masak ni..memang melelehkan air liur...sampai tak sabar-sabar nak buat...ambil resepi kueh bingka jagung dari rumah puan hanieliza's lagi..terima kasih ye puan hani...kerna sudi berkongsi resepi..akak c & p aje resepi ni tapi editlah pulak...

Bahan-bahan
  • 1 cawan susu cair
  • 1 1/2 cawan air
  • 2 biji telur ayam
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan tepung kastad
  • 1 tin jagung krim dalam tin
  • 3/4 cawan gula
  • 1 s/b butter/majerin cair

Cara-cara

1. Panaskan oven 180'C dan sapukan minyak loyang 8 inci X 8 inci atau loyang bulat 8 inci.
2. Masukkan semua bahan kecuali jagung dalam tin ke dalam mangkuk dan kacau rata. (akak blender aje). Kemudian barulah di masukkan jagung dan kacau sebati.
3. Tuangkan bahan dalam loyang dan bakar selama 1 jam.
4. Sejukkan dan potong untuk hidangan minum petang.

Isnin, April 13, 2009

Karipap Inti Kentang


Buat karipap biasa aje...bila dah anak dara tak ada kat rumah..malaslah pulak nak buat karipap pusing..lambat nak mengentel...karipap ni nak buat bila vitamin R banyak baru boleh buat..
selalunya akak buat dalam sekilo tepung..pastu frozenkan...bila teringat nak makan barulah di goreng. senangkan macam tu...akak tak bagi resepi yang tepat tang air tu..janji boleh jadi doh barulah di perap selama 1 jam.

Bahan-bahan
  • 1 kg tepung gandum
  • 1/2 cawan minyak masak/minyak sayur
  • 1/2 cawan marjerin
  • garam secukupnya
  • air masak secukupnya...masa akak buat tu akak guna lebihkurang 2 cawan air dan tambah sedikit lagi sampai doh tak lekat di tangan.
Cara-caranya

1. Panaskan marjerin dan minyak masak sehingga mendidih.
2. Tuang ke dalam tepung dan kacau dengan senduk/sudu. Jangan guna tangan nanti tangan tu tercedera kena minyak panas.
3. Setelah itu baru dimasukkan air sedikit demi sedikit.
4. Setelah jadi doh diuli sebentar dan barulah di perap 1/2-1 jam.
5. Lepas tu buatlah macam biasa.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Bahan-bahan untuk inti


  • 6 biji ubi kentang (di potong kiub atau di parut kasar)
  • 2 biji bawang besar (dipotong halus)
  • 4 biji bawang putih (di tumbuk)
  • 6 biji bawang merah (di tumbuk)
  • 1/2 inci halia(ditumbuk)
  • 4 sudu makan kari ayam (kalau nak pedas..tambah lagi)
  • 1 tangkai daun kari
  • 200 gram ayam/daging di potong kecil(kalau nak tambah pun boleh..lagi sedap)
  • minyak dan garam secukup rasa
  • kiub ayam (optional)/air secukupnya

Cara-cara

1. Panaskan minyak. Masukkan bawang putih, halia dan bawang merah yang telah ditumbuk. Masukkan juga daun kari.
2. Masukkan rempah kari dan masukkan sedikit air..biarkan hingga naik minyak..masukkan pula ayam/daging. Masukkan garam.
3. Masukkan ubi kentang dan bawang besar dan tambah 1-1 1/2 cawan air.
4. Masukkan kiub ayam maggi dan masak sehingga ubi kentang empuk dengan api yang perlahan. (jika kentang belum empuk, masukkan lagi sedikit air)
5. Biarkan sejuk sebelum di gunakan.


Selasa, Mac 17, 2009

Bingka Ubi Kayu

Teringin pulak nak makan bingka ubi...cari dalam myresepi ada satu resepi yang rasanya senang sangat nak buat.....resepi dari checkmate.....apa lagi parut dan terus bakar...hem...memang sedap pasal ada rasa daun pandan. Akak buat dah minggu lepas tapi baru nak tepek kat sini...Akak c & p ajelah resepi ni....tapi akak nak edit sedikit.

Bahan-bahan

  • 3 cawan ubi kayu parut
  • 1/2 cawan gula@secukup rasa-akak tambah lagi 2 sudu makan
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 cawan jus pandan+1 cawan pati santan
  • mentega untuk menggris

Cara-cara

  1. Letak ubi parut atas napkin dan gantung atau boleh guna tapis je...(akak guna tapis)....jangan di perah.....biarkan dalam 1/2 jam.
  2. Buang air yang bertakung kat bawah tu..kemudian satukan ubi parut,garam dan gula kedalam mangkuk dan gaul rat.
  3. Tuangkan campuran jus pandan dan santan pekat sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga mendapat tekstur macam nak buat cucur...
  4. Rasakan manisnya....kalau kurang tambah gula.....kalau terlalu pekat tambah santan.
  5. Tuang dalam tin/loyang yang telah digris.
  6. Letak 4/5 hirisan butter atas adunan dan bakar pada suhu 170C selama 45min atau sehingga masak.Akak masak 1 jam..nak bagi garing kat tepi dia.
  7. Kuih ni lembut semasa panas..... jadi kena tunggu hingga betul-betul sejuk sebelum dipotong.

Jumaat, Januari 16, 2009

Cekodok/jemput-jemput nasi

Bila dapat resepi ni dari kak intan..(member paling senior dalam myr forum)..pasal cekodok yang bubuh nasi..akak pun teruja nak buat..yelah selama ni bubuh tepung aje....sedap jugaklah cekodok ni....semalam buat sambal ikan keli...ada balance lagi...jadi cicah aje cekodok ni dengan sambal ni....sedap......jadi sekarang ni kalau nasi tak habis bolehlah buat cekodok nasi dan roti nasi..taklah membazir...kan sekarang ni beras dah mahal dan ekonomi dah meleset...jadi amalkan amalan jimat cermat ye...

Bahan-bahan
  • 2 cawan tepung gandum -tambah 4 sudu makan lagi
  • 2 cawan nasi
  • 2 cawan air ais
  • 1 biji telur
  • ikan bilis - ikut suka
  • daun sup/daun bawang-ikut suka
  • 1 biji bawang besar di hiris halus-pilihan
  • garam dan minyak secukupnya
Cara-caranya

1. Masukkan tepung, nasi dan air ais bersama telur. Kisar bagi sebati.
2. Tuang adunan ke dalam mangkuk dan tambahkan 4 sudu makan..bergantung kepada kecairan yang di kehendaki.
3. Perap sebentar adunan....selepas di perap barulah di goreng seperti membuat cekodok...
4. Sedap di makan panas-panas bersama pencicah seperti sambal, kari ataupun masak lemak cili api.

Khamis, Disember 11, 2008

Apam Gula Melaka

Tekak ni nak makan macam-macam..jalan-jalan kat rumah che'iza ternampaklah pulak gambar dan resepi kuih apam gula melaka..jom kita share resepi dia....tq ye che'iza...maaf ye che'iza copy resepi aje...tak ada mood nak taip... Bahan-bahan
  • * 1 cwn air
  • * 1/2 cwn gula melaka yg telah diracik halus
  • * sehelai daun pandan
  • 2 cwn tepung
  • 1 sk dry yeast
  • 3/4 cwn air
  • 3 sb gula pasir ( boleh kurang atau tambah ikut suka nak manis mcmmana )
  • secubit garam
Cara-cara

  1. Masak bahan bertanda* hingga gula melaka larut dan dibiarkan sejuk.
  2. Campurkan semua bahan dan air gula yg telah sejuk dan gaul rata.
  3. Seeloknya campuran tadi di masukkan didalam bekas besar. Tutup dan bibiarkan selama 40min atau sehingga adunan naik hingga 3x ganda.
  4. Tuangkan adunan kedalam loyang yg telah dilengserkan minyak. Biar sekejap dlm 5 min.
  5. Kukus adunan selama 30-35 min atau bila dicucukkan lidi, lidi keluar bersih.
  6. Sedap dimakan dgn kelapa parut yg digaul dgn sedikit garam.

Selasa, Disember 02, 2008

Kue Lapis Nyonya


Oleh kerana tertarik dengan warna dia yang mengancam tu..akak pun nak buat jugak...beli santan hari sabtu..tapi buat hari isnin.....pasal hari sabtu dan ahad banyak aktiviti...santan tu akak dah masak dengan gula dan daun pandan..masukkan ke dalam peti sejuk...nak buat panaskan balik...nasib baik jadi..........resepi ambil dari rumah jun....

Bahan-bahan

1. 950ml santan segar
2. 263gm gula pasir
3. 1 helai daun pandan (akak guna 2 helai aje)
4. 50gm tepung Hoen Kwee
5. 125gm tepung sagu
6. 150gm tepung beras
7. 1/2 camca teh garam
8. 1/2 camca teh air kapur
9. Perwarna makanan

Cara-cara

1. Masak santan dengan gula menggunakan api yang perlahan hingga mendidih bersama dengan daun pandan yang telah di siat.
2. Biarkan sejuk baru dimasukkan semua bahan-bahan yang lain. Tapis.
3. Bahagikan kepada 4 bahagian (terpulang pada diri masing-masing).
4. Akak warnakan ungu, oren, biru dan merah.
5. Kukuslah selapis demi selapis. Rasanya tak sampai 5 minit akak kukus setiap lapisan.
Oleh kerana akak guna acuan kueh lompang...dan dalam bekas plastik.....jadilah macam ni..senang...tak payah nak potong.



Rabu, November 19, 2008

Kuih Udang


Kuih udang ni semua orang pandai buat. Saje buat cuti sekolah ni....pastu hujan..cicah pulak dengan cili sos..............layan ajelah gambar ni....resepi tak yahlah........

Adsense

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...