OOO

Rabu, Mac 05, 2014

BARISAN SELEBRITI TUNJUK BAKAT MELIBAS PADA 8 MAC INI

Temui selebriti dan para penyampai ERA beraksi dalam perlawanan sepak takraw di Stadium Tertutup Titiwangsa secara PERCUMA

Kuala Lumpur, 4 Mac 2014 – Bersempena dengan penganjuran buat kali pertama di Malaysia selaku tuan rumah untuk kejohanan sepak takraw bertaraf dunia, ISTAF SuperSeries Finals 2013/14, anda dijemput untuk menyaksikan sebuah perlawanan sepak takraw istimewa yang melibatkan barisan selebriti tanah air dan juga para penyampai radio ERA pada 8 Mac 2014 (Sabtu), jam 6 petang di Stadium Tertutup Titiwangsa dan kemasukan adalah percuma.

Perlawanan tersebut akan menampilkan dua buah pasukan iaitu pasukan Tatatertib yang dianggotai oleh dua orang penyanyi tersohor tanah air yang juga merupakan bekas juara untuk program realiti terunggul di Malaysia, Akademi Fantasi iaitu Mawi, dan Hazama. Mereka akan turut digandingkan dengan seorang pelakon dan pelawak yang baru sahaja menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega 2013 iaitu Rahim Sepahtu. Pasukan ini tidak akan melalui jalan yang mudah apabila mereka perlu menentang pasukan ERAvengers yang memang sudah terbukti mempunyai semangat dan kemahiran kesukanan yang tinggi. Pasukan ini bakal dianggotai oleh ArilZahidAdi dan Ray.

Perlawanan sepak takraw yang julung-julung kali diadakan akan menjadi perlawanan selingan semasa pusingan separuh akhir yang bakal berlangsung pada hari Sabtu ini. Kehebatan mereka memang sudah terbukti di pentas persada seni dan juga di konti. Bagaimana pula aksi mereka di gelanggang libas ini nanti? Sama-sama kita saksikan.
Bagi memantapkan persiapan kedua buah pasukan ini, mereka telah menjalani latihan di bawah seliaan dua orang bekas jaguh sepak takraw negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di pelbagai kejohanan persada dunia iaitu Abdul Malik Samsuddin dan Zabidi Shariff.
Berbekalkan latihan intensif oleh jurulatih professional serta semangat juang dalam membuktikan kebolehan masing-masing, perlawanan bersejarah ini pastinya menjanjikan suatu aksi hebat dan kepuasan tontonan buat mereka yang hadir nanti. 

Perlawanan yang dijadualkan berlangsung dari pukul 6 hingga 7 petang ini adalah bertujuan untuk menarik minat lebih ramai rakyat Malaysia dari pelbagai golongan terhadap sukan sepak takraw di samping meluaskan promosi serta memartabatkan sukan tradisional kebangsaan ini. Diharapkan melalui terapan elemen hiburan dalam perlawanan sukan seperti ini mampu untuk meningkatkan semangat kesukanan di kalangan rakyat Malaysia terutamanya dalam memelihara sukan tradisi kebanggaan negara ini. 
ISTAF SuperSeries Finals 2013/14 yang dianjurkan oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan disokong oleh International Sepak Takraw Federation (ISTAF) serta Asia Sports Ventures Pte. Ltd. (ASV) yang berlangsung daripada 5 hingga 9 Mac 2014 ini bakal menyaksikan sebanyak 13 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita terunggul dunia berentap bagi merebut kejuaraan sebagai jaguh pasukan sepak takraw dunia.

ISTAF SuperSeries Finals 2013/14 ini juga boleh di tonton melalui saluran Astro Arena (saluran 801), Astro SuperSport (saluran 810) dan Astro SuperSport HD (saluran 831) bermula daripada 7 hingga 9 Mac 2014. Oleh itu, jangan lepaskan peluang dan datanglah beramai-ramai ke Stadium Tertutup Titiwangsa, pada 8 Mac 2014, jam 6 petang dan ekspresikan sokongan anda terhadap selebriti kegemaran anda . Kemasukan adalah percuma.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Adsense

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...