OOO

Memaparkan catatan dengan label resepi udang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label resepi udang. Papar semua catatan

Rabu, Februari 15, 2017

Sambal Tumis Udang Petai Sedap

Assalammualaikum semua
Duk kat Salak ni, mewah betul sebab udang laut tak semahal masa duk Kuala Lumpur. Akak sekarang layan udang laut jer, udang bela pun harga dah puluhan ringgit.
Bahan-bahan 
  • 500 gm udang
  • 1 cawan cili kisar
  • 5 biji bawang merah *
  • 1 biji bawang besar*
  • 2 biji bawang putih*
  • sedikit belacan* (pilihan)
  • 1 biji bawang besar-hiris bulat
  • 2 papan petai-kopek kulit dan ambil isi
  • garam dan sedikit gula melaka
  • air asam jawa secukupnya
  • minyak untuk menumis

Cara Memasak
1.  Kisar/tumbuk  bahan-bahan bertanda *. 
2.  Panaskan minyak dan tumis bahan yang telah di kisar sampai naik bau.
3.  Masukkan cili kisar dan kacau sehingga naik minyak/cili masak.
4.  Masukkan air asam jawa lebih kurang 1/2 cawan bersama garam.
5.  Masukkan udang, petai dan hirisan bawang besar  dan perlahan api dan biarkan dalam 10-15 minit atau sehingga kuah pekat.
6.  Sebelum di tutup api rasa cukup asam garam dan barulah di padam api.

Rabu, November 30, 2016

Resepi Masak Lemak Cili Padi Udang Nenas

Assalammualaikum

Muak gak ashik masak sambal tumis, kali ni akak buat pula masak lemak udang campur nanas.

Bila dah masak, rasa kuah ni memang sedap, sebab ada rasa masam masam manis.

Bahan-bahan
10 hingga 15 ekor udang laut
1/2 biji nenas
1 batang serai-tumbuk hujung
1 helai daun kunyit, disiat dan simpul
2 cawan santan cair
1/2 cawan santan pekat 
Garam secukupnya

Bahan kisar/tumbuk
2 biji cili merah
10 biji cili api/padi
1 inci kunyit hidup
sedikit serbuk kunyit
sedikit garam

Cara-caranya
1.  Bersihkan udang, tinggalkan ekornya.  Kupas nenas, ambil 1/2 dan potong kecil.
2.  Masukkan bahan tumbuk/kisar dalam periuk dengan serai bersama santan cair.
3.  Masak sehingga mendidih, masukkan nenas, udang dan daun kunyit.
4.  Kacau lagi sehingga mendidih, masukkan santan pekat bersama sedikit garam.

Rabu, Februari 04, 2015

Rendang Udang Galah

Assalammualaikum
Udang galah ni dah masak lemak cili api, kali ni akak masak pula rendang udang.


Bahan-bahan ( 5-6 orang )

* 1 kilo udang harimau - bersihkan dan toskan-akak gunakan udang galah 
* 1 senduk cili kisar
* 1 biji bawang besar *
* 4 ulas bawang putih *
* 2 hiris halia *
* 4 sb serbuk rempah kari
* 2 batang serai - dititik 
* 2 lembar daun kari - dipetik-petik
* 1 cawan santan - drpd 1/2 biji kelapa
* 3 sudu penuh kerisik
* garam dan gula secukup rasa
* 1 keping asam gelugur atau sedikit air asam jawa
* minyak utk menumis

Cara-cara

1. Kisar bahan-nahan yg bertanda * dan campurkan cili kisar dan rempah kari. 2.Panaskan minyak dlm periuk dan tumiskan campuran bahan kisar, serai dan daun kari hingga wangi.
3. Masukkan santan,garam,gula,asam dan kerisik.
4. Gaul rata,tambah sedikit air dan masak mendidih.
5. Masukkan udang dan gaul rata dan masak hingga udang berubah warna.
6. Masukkan garam dan rasa dulu baru di matikan api dan siap utk disajikan.

Jumaat, Disember 28, 2012

Resepi Udang Sos Lada Hitam

Assalammualaikum
Dah petang baru leh update blog..dalam minggu ni ashik gi sekolah anak ajer..al maklumlah minggu depan sekolah dah nak buka.  

Semalam masa akak buat N3 pasal Top 10 Link Referrer Denaihati.com ada pulak mak/pak anon yang komen yang menyakitkan hati akak..menusuk hati sampai akak padam komen tu.  Ada hamba allah  tu pertikaikan hasil yang akak dapat tu halal ataupun haram di sebabkan akak pernah pos pasal Astro.  

Bersabarlah hati bila dapat komen yang menghiris hati dari manusia yang enggan memperkenalkan diri.  Akak bukan tak boleh terima komen tapi biarlah sebagai seorang yang pandai dalam halal haram ..dah tentulah hamba allah tu kuat agama kan..cuba tegur dengan menggunakan bahasa yang baik barulah orang tak terasa.  

Kalau nak berdakwah ataupun menegur biarlah perkenalkan diri barulah diri di hormati. Bila dah berblog ni barulah kita dapat tau ramai yang tak suka dengan blog kita.  Tak apalah..janji akak happy dahlah dan akak tau apa yang akak buat.
 
Udang masak apa sajer sedap kan...resepi mudah dan ringkas nak menyediakannya.

Bahan:
500 g udang sederhana besar
3 biji  bawang putih-tumbuk
1 sudu teh  garam
1 sudu makan jus limau nipis
minyak masak

Sos Lada Hitam:
1 sudu makan minyak jagung/sayur
3 ulas bawang putih, cincang halus
1 biji bawang bombay,hiris halus
1/2 biji bawang benggala merah-potong
2 sudu makan sos tiram
1 sudu makan kicap masin
1 sudu makan kicap manis
 Sedikit air tepung jagung
2 sudu teh  lada hitam, tumbuk agak kasar
200 ml air
sedikit brokoli - potong kecil


Cara membuat:
  • Bersihkan udang, cuci bersih dan toskan.
  • Lumuri dengan bawang putih, garam dan air limau nipis. Diamkan selama 30 menit.
  • Goreng dalam minyak panas dan banyak hingga agak kering. Toskan.
Sos Lada Hitam
  • Tumis bawang putih dan bawang bombay hingga layu.
  • Tambahkan bahan lainnya dan air. Didihkan.
  • Tuangi larutan tepung jagung, kacau sehingga sebati.
  • Masukkan udang goreng dan brokoli,  didihkan sebentar. Angkat.
  • Sajikan panas-panas.

Jumaat, Oktober 12, 2012

Resepi Udang Kam Heong / Kam Heong Prawn

Terima kasih buat teman-teman yang sudi sedekahkan Al Fatihah dan doa buat arwah abah akak dan juga teman-teman yang juga telah kehilangan ayahanda masing-masing.  Setiap kehilangan akan di di rasai, di tangasi dan sentiasa di ingati.


Resepi Udang Kam Heong / Kam Heong Prawn ini akak jumpa bila gi blog walking kat teman-teman blogger yang rajin memasak.  Tertarik nak cuba bila tenguk bahan-bahannya..ala-ala masakan cina.  Resepi asal menggunakan ayam tapi Puan Liza ni gunakan udang..akak pun guna udang gak.

Bahan-bahan
500 gm ayam ( digoreng dengan sedikit tepung) - Akak guna udang
~ ayam diperap ngan tepung jagung dan sedikit garam, then goreng & toskan.

4 tangkai cili padi (diketuk)
2 tangkai cili merah (dihiris)
2 labu bawang besar (dicincang)
4 ulas bawang putih (dicincang)
2 sudu makan rempah kari
2 sudu makan cili sos cili
2 sudu makan sos tomato
2 sudu makan kicap
2 sudu makan sos tiram
5 helai daun kari
Garam dan gula secukup rasa

Cara-caranya:
1. Gaulkan ayam (udang)  bersama tepung jagung dan sedikit garam dan kemudian goreng hingga masak. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan putih hingga naik baunya.
3. Kemudian masukkan serbuk rempah kari bersama sos cili, sos tomato, daun kari, kicap dan juga sos tiram. Kacau rata dan biarkan hingga pekat.
4. Masukkan ayam (udang) bersama cili merah dan juga cili padi. Gaulkan ayam(udang) rata.
5. Masukkan garam, gula dan angkat.
6. Hidangkan bersama nasi putih.

Selasa, Ogos 28, 2012

Resepi Udang Garing Daun Kesum

Assalammualaikum dan Selamat Hari Raya

Dah ramai yang mencuba resepi udang ni, akak baru akak memasaknya semalam sebab terliur tenguk udang di masak camni..al maklumlah kalau puasa semua masakan nampak sedap ajer kan.

Sepatutnya ada daun selasih tapi nak cari daun ni kena gi pasar tani ataupun di pasar chow kit tapi tak per..dah ada daun kari dan daun kesum pun dah harum baunya.  Suami dan anak-anak suka masakan macamni..nanti boleh buat lagi. Akak gunakan udang harimau dan resepi ini di ambil dari Dapur Ibundo resepi asal dari Chef Kamarul  Majalah SAJI Feb 2012

Bahan:

500 gm udang

Bahan perap:

1 sudu kecil serbuk cili

1 sudu kecil serbuk kari

1/2 sudu kecil lada hitam

1 sudu besar tepung jagung
sedikit garam
1/2 sudu kecil serbuk kunyit-akak tambah


Bahan cincang:
6 ulas bawang putih
3 cm halia

1 tangkai besar daun kesum

1 tangkai kecil daun selasih

1 tangkai kecil daun kari

1 biji cili merah
1 biji bawang besar (bundo tambah) 
minyak untuk menggoreng




Cara:
1. Kelar bahagian belakang udang dan bersihkannya
2. Gaulkan udang bersama bahan perap dan biarkan seketika.  

3. Panaskan minyak dan goreng udang sehingga garing.  Angkat dan toskan minyaknya.

4. Keluarkan minyak dan tinggalkan lebih kurang 2 sudu besar sahaja.  Tumis bawang putih, bawang besar  dan halia sehingga agak garing. 

5. Masukkan cili merah diikuti daun kesum, daun selasih dan daun kari.

6. Sentiasa kacau supaya tidak hangus. Goreng sehingga garing.
7. Masukkan semula udang dan gaul rata.

Sabtu, Julai 28, 2012

Resepi Kari Udang Galah

Assalammualaikum dan selamat berpuasa.

Baru sebut-sebut pagi Khamis dengan anak akak..
Russhdi jom gi pasar borong selayang..mak nak cari udang galah...dah lama tak masak
Kebetulan penjual ikan kat area rumah akak bawaklah pulak udang galah. Alhamdulliah ..macam tau-tau ajer Zul (penjual ikan) akak teringin nak makan..dia bawaklah pulak.  Akak pun apalagi..gi beli santan nak masak kari pekat udang galah.

Bahan-bahan
1 kg udang galah
1/2 kg santan pekat
2 cawan air
4 sudu besar rempah kari daging
5 biji bawang kecil
3 biji bawang putih
1/2 inci halia
1 biji tomato-potong kecil
sedikit daun ketumbar-racik halus
1 sudu kecil kerisik
sedikit air asam jawa
2 sudu makan minyak sapi
2 sudu makan minyak masak
garam

Bahan tumisan
1 batang kayu manis
2 biji cengkih
2 buah pelaga
2 bunga lawang
1 biji bawang besar-hiris halus
2 batang daun kari
Cara-cara
1. Tumbuk/kisar  bawang putih, halia dan bawang merah.
2. Panaskan minyak sapi bersama minyak masak, masukkan semua bahan penumis sehingga naik bau dan masukkan pula bahan kisar/tumbuk..kacau sebati.
3.  Bila dah layu masukkan pulak rempah kari dan sedikit air dan kacau dengan api perlahan sehingga terbit minyak barulah di masukkan santan pekat dan air.
4.  Bila santan mendidih,masukkan garam, hirisan daun ketumbar dan udang galah.
5.  Kemudian masukkan kerisik dan akhir sekali masukkan jus asam jawa.
6.  Boleh di hidangkan bersama murtabak, roti canai ataupun nasi putih.

Jumaat, Mei 25, 2012

Udang Bercili Yang Enak

Udang kalau masak apa pun sedap terutama jika udang yang digunakan segar tak kiralah udang laut ataupun udang bela.  Kalau dapat udang laut fresh lagi sedap. 
 Udang bercili ni tak susah nak menyediakannya.  Jika dah siap bahan, cara memasak tak sampai pun 10 minit.  Kalau masak banyak pun taklah sampai 30 minit.  

Bahan-bahan
500gm udang segar-dibuang kepala dan tinggalkan hujungnya
1 biji bawang besar*
4 biji bawang putih*
1/2 inci halia*
2 sudu makan cili kisar
2 sudu makan sos cili thai maggi/sos cili maggi
sedikit serbuk kunyit
minyak zaiton/minyak masak secukupnya
garam dan sedikit gula
sedikit daun bawang dihiris halus-untuk hiasan
 
Cara membuatnya
  1. Basuh udang dan toskan.  Letak sedikit garam dan serbuk kunyit. 
  2. Semua bahan bertanda * di tumbuk ataupun di kisar.
  3. Panaskan sedikit minyak zaiton dan goreng udang sebentar.  
  4. Angkat dan ketepikan.  Masukkan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga wangi.
  5. Masukkan cili kisar dan masak sehingga terbit minyak baru di masukkan cili sos thai/sos cili maggi.
  6. Masukkan sedikit garam, gula  dan udang yang telah digoreng dan kacau sebati, bolehlah padam api.
  7. Angkat dan hiaskan dengan daun bawang sebelum di hidang.

Khamis, Ogos 18, 2011

Kalau Goreng Garenti Licin

 
Bila anak duk asrama balik sekali sekala akak memang tanya nak makan apa? Bila tanya Ira nak makan udang goreng, kebetulan jumpa udang laut kat Pasar Greenwood pagi Ahad, terus gorengkan sebelum dia balik semula ke asrama petang tu. Kesiankan dia ashik makan nasi kawah, nasib baiklah setakat ni Ira tak komen kata makanan kat kantin tak sedap.

Bulan puasa ni Ira balik setiap minggu, jenuh gak nak mengambil dan menghantar setiap minggu, nasib baiklah Firdaus ada kat umah. 

Bahan-bahan
  • 20 ekor udang sederhana besar-dibersihkan dan di tos
  • 1 biji telur
  • sedikit garam
  • sesikit sos ikan ajer
  • 1/2 sudu makan serbuk kari
  • 1-2 sudu besar tepung kentucky
  • sedikit serbuk lada hitam/lada putih-akak tambah sendiri
  • Minyak secukupnya-biarkan terendam
Cara-cara
  1. Udang di perap dengan telur, garam, sos ikan, lada hitam/lada putih dan serbuk kari.
  2. Perap selama 30 minit.
  3. Bila nak goreng baru di masukkan tepung kentucy.
  4. Goreng sehingga kekuningan.

Jumaat, April 01, 2011

Resepi Udang Masak Merah Berempah

Berat mata memandang lagi berat bahu memikul. Semuga Raihan dan seluruh keluarga dapat menerima ketentuannya, sesungguhnya allah s.w.t. lagi menyayanginya. Memang rasa downlah hari ni..

Udang kalau masak apa pun sedap kan..kalau goreng tepung lagi best. Tapi tak leh jadi lauklah pulak..bila habis menggoreng ada ajer tangan-tangan yang menunggu, lelama habis ataupun tukang masak bertempik cam tarzan.

Masak udang stail camni kalau tak habis esoknya bolehlah makan dengan lempeng, cekodok ataupun roti canai tak pun roti ajer. Akak ambil resepi dari blog Dayang Jack

Bahan-bahan :
  • 500 g udang basah (dibersihkan dan digaulkan dgn sedikit garam)
  • 2 sudu makan sos tomato
  • 1 tangkai daun kari
  • garam dan gula secukupnya
  • 1 sudu makan kicap manis
  • 1 sudu makan serbuk kari daging
  • 4-5 sudu makan cili kisar
  • 1 sudu kecil serbuk ketumbar
  • 1 sudu kecil serbuk jintan putih
  • akak tambah : 1 biji bawang besar di hiris halus
  • 2 biji bawang kecil di hiris halus
Bahan-bahan mesin :
  • 1 labu bawang besar
  • 3 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 batang serai
  • 1/2 inci halia
  • 1/2 inci lengkuas
Cara-cara :
  1. Panaskan minyak utk goreng terendam. Goreng udang selama 2 minit. Kemudian angkat dan tuskan.
  2. Tinggalkan sedikit minyak, tumis bahan-bahan mesin bersama daun kari hingga wangi. (Akak tumis hirisan bawang besar dan bawang kecil bersama daun kari ..baru masuk bahan kisar dan cili kisar..kemudian baru masuk pes)
  3. Satukan serbuk kari, cili kisar, sos tomato, jintan putih dan serbuk ketumbar di dlm satu bekas. Bancuhkan dgn sedikit air utk dijadikan pes. Kemudian, tumiskan bersama bahan-bahan mesin tadi hingga pecah minyak.
  4. Masukkan garam, gula, kicap dan sedikit air. Kacau dan biarkan ia mendidih.
  5. Setelah kuahnya sedikit pekat, bolehlah dimasukkan udang tadi. Gaul2kan hingga rata.
  6. Hidangkan setelah masak.

Khamis, Ogos 26, 2010

Resepi Udang Rock And Roll

 Udang memang favourite kat umah ni...terutama kalau ada 2 orang anak perempuan kat umah.  

Resepi ni akak ambil dari blog ummi.Dan beliau ambil dari forum  Anekarasa

Bahan:-
  • 500 gm udang (udang besar - akak guna udang galah)
  • 1 sudu besar bawang putih yang dicincang
  • 2 sudu besar minyak
Bahan-Bahan Untuk Sos:-
  • 1 sudu besar taucu biji
  • 2 sudu besar cili padi yang dicincang
  • 2 sudu besar sawi jeruk (kai choy) - dicincang (*akak x letak)
  • 2 sudu besar cendawan butang yang dicingang (tak letak)
  • 2 sudu besar cili sos
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar sos plum
  • 1 sudu besar gula
  • garam secukup rasa
  • sedikit lada sulah
  • 1 sudu besar tepung jagung dibancuh dgn 3 sudu besar air
  • 200 ml air
  • 3 sudu besar minyak
  • sedikit minyak bijan
  • Akak tambah se batang daun bawang potong 2 inci
Cara Memasak:-


  1. UDANG :- Panaskan minyak dalam non-stick pan dan tumiskan bawang putih. Kacau sekejap dan masukkan udang.. Balik-balikkan biar masak lebih kurang 5 - 6 minit. Tutup api dan ketepikan. Masak sos seperti di bawah


  2. BAHAN SOS :- Campurkan bahan2 sos cili, tomato, tiram, plum semua dalam bekas. Kacau rata dan ketepikan. Dalam kuali lain, panaskan minyak dan tumiskan cili padi, taucu, sawi jeruk dan cendawan cincang tadi. Kacau dan masukkan bahan2 sos yang dicampur tadi. Masukkan garam dan lada sulah secukup rasa. Masukkan minyak bijan. Kacau rata dan  masukkan daun bawang dan akhir sekali masukkan bancuhan tepung jagung. Kacau dan bila sos nya agak pekat tutup api. Tuangkan ke atas udang tadi dan gaul rata. Hidangkan..

    Lepas tu boleh kita rock and roll ek..

Adsense

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...